Muhamad Haris Hussain (kiri) menyampaikan mock-cheque RM10,000 kepada Jamuliddin Elias untuk mangsa banjir Pakistan di Bachok, baru-baru ini.
BACHOK 26 Dis. – Malapetaka yang menimpa jutaan penduduk di selatan Pakistan yang dilanda banjir akhir Julai lalu terus mendapat perhatian pelbagai pihak yang prihatin nasib mereka.
Antaranya Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) di sini yang menyumbang wang tunai sebanyak RM10,000 untuk diserahkan kepada mangsa melalui kerjasama mereka dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Ketua Pegawai Eksekutif KIST, Muhamad Haris Hussain berkata, sumbangan hasil potongan gaji kakitangan dan kutipan derma pelajar itu merupakan salah satu kerja bakti warga kolej yang sentiasa peka dengan bencana menimpa umat Islam tidak kira di mana sahaja.
“Walaupun sudah berbulan-bulan berlalu, mangsa banjir Pakistan masih lagi menderita dan memerlukan sokongan daripada masyarakat antarabangsa.
“Inilah ruang untuk kami berbakti di samping menjalinkan kerjasama dengan pertubuhan seperti Yayasan Amal Malaysia (YAM) yang mempunyai banyak pengalaman membantu mangsa bencana di luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Mangsa Banjir Pakistan yang diadakan di Dewan Peperiksaan KIST, di sini baru-baru ini.
Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Presiden YAM, Jamuliddin Elias dan Ketua Jabatan Psikologi KIST, Che Hasnah Che Musa.
Muhamad Haris berkata, selain bantuan material seperti wang dan pakaian terpakai, pihak KIST juga mungkin menghantar tenaga sukarelawan mereka ke Pakistan.
Katanya, perbincangan dan perancangan rapi akan dilakukan bagi membolehkan warga KIST yang mempunyai kepakaran dalam bidang perubatan untuk menyertai misi YAM ke negara itu yang dijadualkan pada Januari atau Mac tahun hadapan.
Sementara itu, Jamuliddin berkata, skala bencana yang menimpa rakyat Pakistan adalah amat besar kerana ia membabitkan satu per lima dari keluasan negara itu yang hampir tiga kali ganda lebih besar daripada keluasan Malaysia.
Katanya, sebarang sumbangan yang disampaikan akan disalurkan kepada mangsa melalui program pembangunan dan pendidikan dan bukannya diserahkan bulat-bulat kepada orang tengah.
“Sepanjang tiga kali misi awal ke selatan Pakistan sejak Julai lalu, kami membeli bahan binaan asas untuk membuat batu-batu blok bagi mendirikan semula kediaman dan sekolah yang telah musnah selain menggali telaga untuk bekalan air bersih dan sistem kumbahan.
“Kami mendapat iktibar daripada pengalaman NGO lain di peringkat antarabangsa untuk memberi ‘kail’ kepada mangsa meneruskan kehidupan dan bukan semata-mata memberi mereka ‘ikan’.
“Proses mendidik seperti mengajar cara membina batu blok bangunan adalah penting kerana ia dapat membantu mangsa yang rata-ratanya golongan miskin mempunyai pendapatan sendiri,” katanya.
Beliau berkata, yayasan yang ditubuhkan pada 2001 itu mempunyai 3,000 sukarelawan dan berpengalaman menyertai pelbagai misi kemanusiaan di serata dunia termasuk di Indonesia, China dan Sudan selain memberi bantuan semasa bencana di dalam negara sendiri contohnya di Kedah dan Perlis, baru-baru ini.
Salah seorang pelajar yang ditemui, Wan Athirah Wan Omar, 19, pula berkata, dia bersedia menyertai misi ke Pakistan untuk membantu saudara seagama yang ditimpa kesusahan.
Pelajar tahun dua Diploma Kejururawatan ini berkata, pengetahuannya dalam bidang antenatal atau penjagaan semasa ibu mengandung akan digunakan dengan sebaiknya jika diminta pergi ke negara itu.
Sumber foto :
http://www.facebook.com/media/set/?set=a.1883147490032.104432.1581692345&type=1
Sumber foto :
http://www.facebook.com/media/set/?set=a.1883147490032.104432.1581692345&type=1






0 comments
Post a Comment